KULIAH IMAN 2

Just another WordPress.com weblog

Alkitab dan penemuan Arkeologi

PENULIS: DIUBAHSUSAI DARIPADA RAKAN SISWA.COM

Bagaimana Saya Tahu Alkitab Itu Benar?
Bagaimana saya tahu Alkitab yang wujud sekarang boleh dipercayai?
Alkitab merupakan saluran komunikasi terunggul yang dipakai Tuhan untuk berhubungan dengan manusia. Berjuta-juta orang telah menjadikan firman Tuhan ini dasar hidup mereka. Malah ramai orang telah mengorbankan nyawa kerana apa yang mereka percayai dalam Alkitab.

Apakah seorang yang bijak dapat mempercayai Alkitab?
Alkitab bukan sebuah buku dongeng. Terdapat banyak bukti sejarah tentang kebenaran Alkitab dan juga Tuhan yang mengarangnya. Sejarah kuno mendukung kebenaran Alkitab sebagai catatan sejarah. Keempat-empat kitab Injil mencatat kisah hidup Yesus dengan tepat. Penemuan-penemuan arkeologi yang berhubungan dengan peristiwa-peristiwa di dalam Alkitab membuktikan kebenaran sejarah Alkitab. Bukti-bukti naskah kuno dan penelitian tekstual mengesahkan bahawa Alkitab tidak pernah diubah.

Apakah sejarah kuno mendukung kebenaran Alkitab?
Jika Alkitab adalah firman Tuhan kepada kita, kita harus berharap bahawa versi sejarahnya adalah tepat. Misalnya, Alkitab mencatatkan bahawa Yesus dari Nazaret melakukan banyak mukjizat, disalibkan oleh askar Romawi, dan bangkit dari antara orang mati. Para ahli arkeologis menyokong kisah hidup Yesus yang tercatat dalam Alkitab.
1. Cornelius Tacitus (55-120 T.M.) merupakan salah seorang ahli sejarah Romawi terkenal dalam dunia kuno.1 Di dalam karyanya berjudul “Annals” beliau menulis tentang penganiayaan atas umat Kristian pada waktu pemerintahan kaisar Nero. Dia telah bertulis pada tahun 115 TM bahawa: “Kristus, pengasas gerakan itu, telah dijatuhkan hukuman mati di atas salib pada zaman pemerintahan kaisar Nero. Hukuman itu telah dijatuhkan oleh prokuretor (laksamana) Pontius Pilatus.”2 Maklumat daripada Tacitus mengesahkan hakikat bahawa Isa Al-Masih telah mati disalib.

2. Flavius Yosefus, ahli sejarah Yahudi (38-100+ TM), pernah mencatatkan demikian di dalam karya beliau “Antiquities of the Jews” (‘Sejarah Umat Yahudi’): “Pada waktu itu telah hidup seorang yang penuh dengan hikmat, yang bernama Isa. Dia mungkin lebih daripada seorang yang berhikmat. Kerana beliau telah melakukan kerja-kerja ajaib dan menakjubkan, serta mengajar kebenaran kepada sesiapa yang menerimanya dengan hati yang terbuka. Dia telah mengajar ramai umat Yahudi dan juga umat Yunani. Beliau ialah si Mesias/Al-Masih itu. Apabila Pilatus mendengar tuduhan musuh-musuh beliau yang berkedudukan tinggi, dia menjatuhkan hukuman mati disalib ke atasnya. Mereka yang dari mula-mula telah mengikutinya, tidak mengurangkan kesayangan mereka terhadap-Nya.
Pada hari yang ketiga dari penyaliban-Nya, Dia telah menjelma kepada pengikut-pengikut-Nya, kerana para nabi-nabi telah bernubuat bahawa peristiwa-peristiwa serta perkara-perkara ajaib seperti ini akan berlaku mengenai-Nya.”3
3. Gaius Suetonius (70-140 T.M.) adalah seorang penulis Romawi terkenal yang menulis “Lives of Caesars” (Kehidupan 12 Kaisar) yang menceritakan kehidupan para kaisar Romawi mulai dari Julius Caesar hingga Domitian. Dalam tulisannya yang paling penting ini, dia mencatat “Kaisar Klaudius mengusir orang-orang Yahudi dari Roma, kerana mereka sering membuat kekacauan berkaitan dengan penghasut bernama Chrestus”.
Dalam catatan kehidupan Kaisar Klaudius, Suetonius merujuk kepada satu peristiwa rusuhan di kota Roma yang telah terjadi pada tahun 49 TM di antara umat Yahudi bukan-Kristian dengan umat Kristian Yahudi yang lain yang beragama Kristian; dan pertembungan mereka ini adalah mengenai Sayidina Isa Al-Masih (‘Chrestus’/Al-Masih). Akibatnya, semua umat Yahudi telah diusir dari kota Roma, atas titah perintah maharaja Kaisar!
Paling menarik sekali ialah, di dalam kitab Kisah Rasul-rasul, kita juga mendapati rekod peristiwa ini. Dalam Kisah Rasul-rasul fasal 18 ayat 2, rasul Paulus telah bertemu dengan Priskila dan Akuila di kota Korintus, di mana kedua-dua orang ini telah baru datang darikota Roma kerana Kaisar Klaudius telah perintahkan supaya semua umat Yahudi diusir keluar daripada kota itu.
4. Pliny the Younger (61-113 T.M.) adalah seorang gabenor kerajaan Roma di wilayah Bithinia (pada hari ini negara Turki). Lebih kurang pada tahun 112/113 TM, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Maharaja Roma, Kaisar Trajan, tentang masalahnya dengan sekumpulan umat Kristian di wilayah itu. Dia berkata demikian: “setelah selidiki kumpulan ini, saya mendapati bahawa secara lazimnya, mereka akan berkumpul bersama-sama pada satu hari minggu yang tertentu, dan menyanyikan lagu kepada Al-Masih sebagai Ilah.” Beliau dapat memerhatikan dengan tepatnya amalan-amalan umat Kristian awalan pada zaman itu yang telah menyembah Sayidina Rabbani Isa.
5. Thallus seorang ahli sejarah pada pertengahan abad pertama TM menulis 3 jilid buku tentang daerah Mediterania. Thallos mencatat dalam jilid yang ketiga dari tulisan sejarahnya: “kegelapan pada saat kematian Yesus sebagai gerhana matahari”. Catatan kuno ini sesuai dengan Matius 27:45.
Sumber-sumber Yahudi lain yang mendukung kewujudan dan pelayanan Yesus Kristus adalah dari kitab Talmud. Dalam kitab suci agama Yahudi ini, halaman 42 tercatat:
“Al-Masih disalibkan sehari sebelum hari Paskah dan hal itu telah dikemukakan selama 40 hari sebelumnya mengatakan bahawa dia akan dibunuh kerana Dia seorang penyihir dan merancangkan untuk menipu bangsa Israel dan menyesatkan mereka.”4

Apakah sumber-sumber maklumat ini dianggap penting?
Kebanyakan para ahli sejarah kuno hanya menumpukan perhatian kepada pemimpin politik dan tentera. Mereka tidak mengambil-tahu tentang peristiwa-peristiwa dalam sejarah agama Kristian. Lagi pun, pergerakan Kristian pada waktu itu dianggap sebagai kelompok terpencil dan tidak mustahak. Tetapi, apabila pergerakan ini mulai berkembang pesat, barulah para ahli sejarah (termasuk mereka yang bukan Kristian) mengambil tahu dan mula mengulas tentang pergerakan Kristian tersebut pada abad yand kedua Tahun Masehi.

Apakah kisah hidup Yesus dalam kitab-kitab Injil boleh dipercayai?
Para ahli sejarah bukan-Kristian mencatatkan fakta-fakta am tentang kehidupan Yesus manakala pengikut-pengikut-Nya memberikan laporan yang terperinci berdasarkan kesaksian diri sendiri. Kitab Injil ini mengandungi keempat-empat kitab yang terawal dalam Perjanjian Baru. Bagaimanakah kita boleh yakin bahawa semua catatan kisah hidup Yesus ini adalah tepat.
Apabila ahli sejarah cuba menentukan sama ada sesebuah riwayat hidup boleh dipercayai, mereka bertanya, “Berapakah sumber-sumber yang lain melaporkan butir-butir yang sama tentang orang ini?” Gambarkan anda sedang mengumpulkan biografi Presiden John F. Kennedy. Mungkin anda dapat banyak butir mengenai keluarganya, tempoh kepresidenannya dan bagaimana beliau mengendalikan peristiwa krisis Kuba pada tahun 1962. Hampir semua biografinya melaporkan fakta yang seakan-akan sama. Apa pula jika anda terjumpa sebuah biografi yang mengatakan bahawa JFK pernah hidup sebagai seorang paderi selama sepuluh tahun di Afrika Selatan? Biografi yang lain pula mengatakan beliau berada di Amerika pada tempoh itu. Seorang ahli sejarah yang bijak tidak akan menerima catatan yang bercanggah antara satu sama lain.

Sehubungan dengan Yesus dari Nazaret, dapatkah kita mencari beberapa biografi yang mencatatkan fakta yang hampir sama mengenai hidup-Nya? Jawapannya ya. Walaupun keempat-empat kitab Injil tidak mencatatkan semua maklumat yang sama, kisah yang diceritakan adalah sama pada dasarnya:

Catatan \ saksi Matius Markus Lukas Yohanes
Yesus dilahirkan oleh perawan 1:18-25 – 1:27, 34 –
Dia dilahirkan di Betlehem 2:1 – 2:4 –
Dia tinggal di Nazaret 2:23 1:9, 24 2:51, 4:16 1:45, 46
Yesus dibaptiskan oleh Yohanes 3:1-15 1:4-9 3:1-22 –
Dia melakukan mukjizat penyembuhan4:24, etc. 1:34, etc. 4:40, etc. 9:7
Dia berjalan di atas air 14:25 6:48 – 6:19
Dia memberi makan lima ribu orang hanya dengan
lima ketul roti dan dua ekor ikan. 14:7 6:38 9:13 6:9
Yesus mengajar khalayak ramai. 5:1 4:25, 7:28 9:11 18:20
Dia meluangkan masa bersama mereka yang disingkir oleh masyarakat.9:10, 21:31 2:15, 16 5:29, 7:29 8:3
Dia berdebat dengan orang Farisi dan Ahli Taurat. 15:7 7:6 12:56 8:1-58
Para pemimpin agama merancang untuk membunuh Dia. 12:14 3:6 19:47 11:45-57
Mereka menyerahkan Yesus kepada pemerintah Romawi. 27:1, 2 15:1 23:1 18:28
Yesus dicambuk. 27:26 15:15 – 19:1
Dia disalib. 27:26-50 15:22-37 23:33-46 19:16-30
Jenazah Yesus dibaringkan dalam kubur. 27:57-61 15:43-47 23:50-55 19:38-42
Yesus bangkit dari kematian dan menampakkan diri
kepada pengikut-pengikut-Nya. 28:1-20 16:1-20 24:1-53 20:1-31

Dua daripada empat kitab Injil adalah ditulis oleh rasul Matius dan Yohanes. Mereka mengenali Yesus secara peribadi dan pernah bersama dengan-Nya lebih daripada tiga tahun. Dua lagi kitab Injil yang lain adalah ditulis oleh Markus dan Lukas, yang merupakan orang terdekat dengan para rasul. Semua penulis ini pernah lihat, dengar dan alami diri sendiri apa yang mereka catatkan. Gereja awal menerima keempat-empat kitab Injil ini kerana mereka bersetuju dengan apa yang diketahui umum adalah benar tentang kehidupan Yesus.

Setiap penulis kitab Injil ini mencatat dengan terperinci. Seperti yang dijangka, walaupun stail menulis biografi berbeza, semua fakta yang dicatatkan tidak bercanggah. Kita tahu bahawa mereka tidak berbohong kerana kitab Injil memberikan nama tempat yang spesifik dan butir terperinci mengenai budaya yang telahpun dikesahkan oleh ahli sejarah dan ahli kajipurba. Kata-kata Yesus yang tercatat tidak merangkumi banyak topik yang gereja awal harapkan. Ini menunjukkan bahawa penulis-penulis biografi jujur, dan tidak tokok tambah demi kepentingan masing-masing.

Benarkah Alkitab telah diubah dan tercemar?
Sesetengah orang berpendapat bahawa Perjanjian Baru tercemar kerana ia telah melalui proses penterjemahan “banyak kali”. Jika terjemahan dilakukan dari terjemahan yang lain, mungkin ini boleh berlaku. Tetapi semua terjemahan sebenarnya adalah dari teks bahasa sumber, iaitu Yunani, Ibrani dan Aram, berdasarkan beribu-ribu naskah-naskah kuno. Umpamanya, kita tahu bahawa Perjanjian Baru yang kita miliki sekarang tidak jauh bezanya dengan naskah kuno kerana:
1. Terdapat banyak sekali salinan manuskrip – lebih daripada 24,000.
2. Salinan-salinan ini tidak pernah bercanggah, kata demi kata, 99.5% .
3. Tarikh manuskrip-manuskrip ini sangat dekat dengan tarikh naskah kuno (sila klik pautan di akhir bahagian ini).

Apabila kita membandingkan teks satu manuskrip dengan manuskrip yang lain, persamaan antara mereka sungguh mengagumkan. Kadang-kala ejaan mungkin berbeza, tetapi ini tidak berapa penting. Mengenai susunan kata, Bruce M. Metzger, professor emeritus di Seminari Teologi Princeton, menjelaskan: “Dalam bahasa Inggeris, susunan kata sangat penting dalam satu ayat, misalnya, “Anjing menggigit manusia” atau “Manusia menggigit anjing”. Tetapi dalam bahasa Yunani, susunan kata tidak penting. Satu perkataan bertugas sebagai subjek ayat tanpa mengira di mana perkataan itu berada.”5
Dr. Ravi Zacharias, seorang profesor pelawat di Universiti Oxford, pernah berkata:
“Perjanjian Baru merupakan naskah kuno yang paling terpelihara dari segi ribuan naskah yang terkumpul, jangka masa antara peristiwa dengan naskah-naskah, dan karya kuno lain yang masih ada untuk membuktikan atau menentang kebenaran Alkitab. Tidak terdapat bukti karya kuno lain yang dapat mendekati jumlah salinan teks asal dan keutuhan seperti Alkitab.”6

Perjanjian Baru merupakan dokumen kuno manusia yang paling terpelihara secara lengkap. Integriti teksnya lebih kukuh daripada tulisan Plato atau Iliad karangan Homer yang hanya ada 643 naskah yang masih bertahan. Sebanyak sembilan puluh sembilan perpuluhan lima peratus teks Alkitab mempunyai dasar sahih yang kukuh yang tidak dapat dipertikaikan. Perjanjian Lama juga telah dipelihara dengan luar biasa. Terjemahan-terjemahan moden hari ini bukan sahaja disahkan oleh ribuan manuskrip kuno dalam bahasa Yahudi dan Yunani, tetapi juga oleh gulungan-gulungan kuno yang ditemukan di gua Qumran dekat Laut Mati pada pertengahan abad ke-20.

Gulungan-gulungan kitab ini mengandungi fragmen tertua yang masih ada hari ini, dari hampir semua kitab Perjanjian Lama yang berasal dari 150 Sebelum Masehi. Sebelum penemuan Qumran, naskah Perjanjian Lama yang tertua disalin pada abad ke-9 dan 10
Masehi oleh sekelompok penyalin Yahudi yang disebut kaum Masoret. Sekarang kita memiliki naskah-naskah yang berumur 1000 tahun lebih tua dari sebelumnya.
Salah satu sumbangan penting gulungan-gulungan Laut Mati adalah banyaknya naskah Alkitab yang ditemukan. Lebih dari 600 gulungan dan ribuan fragmen (bahagian dari kitab) telah ditemukan di dalam sebelas gua di daerah Qumran. Fragmen dari setiap kitab di Alkitab kecuali kitab Ester telah ditemukan.
Kenyataan yang mengagumkan adalah bahawa naskah-naskah ini hampir sama! Ini menunjukan ketelitian yang luar biasa dari para penyalin Yahudi selama berabad-abad dalam usaha mereka menyalin kitab suci dengan tepat. Kita dapat yakin bahawa Perjanjian Lama benar-benar menggambarkan kata-kata yang diberikan kepada Musa, Daud dan para nabi.

Apakah penemuan arkeologi menunjukkan ketepatan Alkitab?
Arkeologi tidak dapat membuktikan bahawa Alkitab adalah Firman Tuhan bertulis kepada kita. Tetapi, arkeologi boleh mengesahkan ketepatan Alkitab dari segi sejarah. Para arkeologis telah banyak kali menemukan nama-nama pegawai kerajaan, raja, kota, dan perayaan yang tercatat dalam Alkitab–walaupun peribadi atau tempat tersebut tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa ia betul-betul wujud. Misalnya, Injil Yohanes menceritakan tentang Yesus menyembuhkan seorang lumpuh di Kolam Betesda. Yohanes juga memberikan informasi terperinci bahawa kolam itu memiliki 5 serambi. Para cendekiawan tidak percaya bahawa kolam itu wujud, sehingga para arkeologis menemukan kolam itu 40 kaki di bawah tanah. Kolam ini memiliki 5 serambi, tepat seperti yang dijelaskan oleh Yohanes.7
Terdapat banyak catatan sejarah teperinci dalam Alkitab, oleh itu bukan semuanya telah ditemukan melalui arkeologi. Walau bagaimanapun tiada satu penemuan arkeologi yang bercanggahan dengan apa yang tercatat dalam Alkitab.8

Banyak daripada lokasi-lokasi kuno yang Lukas catatkan dalam kitab Kisah Para Rasul dalam Perjanjian Baru, telahpun dikenalpastikan melalui arkeologi. “Keseluruhannya, Lukas telah menamakan 32 negara, 54 kota dan 9 pulau tanpa sebarang kesilapan.”9 Arkeologi juga telah menyangkal banyak teori yang tidak berasas tentang Alkitab. Misalnya, salah satu teori mengatakan bahawa Musa tidak mungkin menulis kitab Taurat (lima kitab pertama dalam Alkitab), sebab zaman Musa diduga zaman primitif yang belum mempunyai abjad. Kemudian para arkeologis menemukan Prasasti Hitam (Black Stele),
“sebuah potongan batu di mana tertera padanya huruf-huruf seperti mata kapak, yang memuat undang-undang Hammurabi dengan terperinci. Apakah prasasti ini peninggalan zaman sesudah Musa? Tidak! Batu prasasti itu dari zaman pra-Musa; tidak hanya demikian, tulisan itu mendahului karya tulis Musa paling kurang tiga abad.”10

Satu lagi penemuan arkeologi penting yang mengesahkan bahawa tulisan sudah ada Musa ialah penemuan lempengan Ebla di Siria Utara pada tahun 1974. Terdapat sekitar empat belas ribu lempengan (tablets) tanah liat yang berasal dari masa sekitar 2300 SM, beratus-ratus tahun sebelum Abraham.11 Lempengan-lempengan ini menerangkan kebudayaan tempatan yang hampir-hampir sama dengan apa yang tercatat dalam Kejadian fasal 12-50.

Berulang kali arkeologi mengesahkan ketepatan Alkitab dari segi sejarah. Betulkah terdapat percanggahan dalam Alkitab?

Walaupun sesetengah orang mendakwa bahawa Alkitab penuh dengan percanggahan, ini sebenarnya tidak berasas. Jumlah percanggahan yang ketara sedikit sahaja berbanding dengan saiz dan skop Alkitab secara keseluruhan. Percanggahan ketara yang wujud hanya menimbulkan sifat ingin tahu dan bukan apa-apa malapetaka sebab tidak kena mengena dengan kepercayaan inti.
Berikut adalah satu contoh apa yand dianggap sebagai percanggahan. Pilatus mengarahkan supaya alasan mengapa Yesus dihukum ditulis di salib Yesus. Tiga daripada kitab Injil mencatatkan apa yang tertulis di atas kayu salib itu sebegini:
Dalam kitab Matius: “Inilah Yesus, raja orang Yahudi.”
Dalam kitab Markus: “Raja orang Yahudi.”
Dalam kitab Yohanes: “Yesus, orang Nazaret, Raja orang Yahudi.”

Kerana tulisan di dalam ketiga-tiga kitab berbeza, nampaknya teks saling bercanggah.
Yang mengagumkan ialah ketiga-tiga penulis mencatatkan peristiwa yang sama dengan terperinci–iaitu, Yesus disalibkan. Dalam hal ini, mereka semua bersetuju. Malahan mereka juga mencatatkan tulisan di atas salib, dan makna apa yang tertulis itu adalah sama dalam ketiga-tiga kitab!
Apakah yang tertulis sebenarnya? Dalam bahasa asal Injil iaitu Yunani, mereka tidak memakai tanda petikan seperti kami hari ini untuk menandakan bahawa sesuatu dipetik secara langsung. Oleh sebab penulis-penulis Injil memetik secara tidak langsung, ini menimbulkan perbezaan yang tidak ketara dalam perenggan-perenggan tersebut.

Berikut adalah satu contoh lagi tentang percanggahan yang nyata. Apakah Yesus berada di dalam kubur selama dua malam atau tiga malam sebelum kebangkitan-Nya? Yesus berkata, sebelum penyaliban-Nya, “Sebab seperti Yunus tinggal di dalam perut ikan tiga hari tiga malam, demikian juga Anak Manusia akan tinggal di dalam rahim bumi tiga hari tiga malam” (Matius 12:40). Markus mencatatkan bahawa Yesus juga berkata: “Sekarang kita pergi ke Yerusalem dan Anak Manusia akan diserahkan kepada imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, dan mereka akan menjatuhi Dia hukuman mati. Dan mereka akan menyerahkan Dia kepada bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah, dan Dia akan diolok-olokkan, diludahi, disesah dan dibunuh, dan sesudah tiga hari Dia akan bangkit” (Markus 10:33,34).

Yesus dibunuh pada hari Jumaat dan berbangkit pada hari Ahad. Macam mana pula ini dikira sebagai tiga hari dan malam di dalam kubur? Rupa-rupanya ini hanya kiasan di dalam bahasa Yahudi pada zaman Yesus di mana sebahagian hari atau malam juga dikira sebagai satu hari dan satu malam. Oleh itu Jumaat, Sabtu, dan Ahad dikira sebagai tiga hari dan tiga malam dalam budaya Yesus. Pada hari ini juga, apabila seseorang mengatakan bahawa dia pergi “membeli-belah sepanjang hari,” ini tidak bermakna selama 24 jam. Ini merupakan contoh tipikal tentang percanggahan nyata di dalam Perjanjian Baru.

Kebanyakanya dapat diselesaikan dengan memeriksa dengan teliti teks itu sendiri atau dengan mengkaji latar belakang sejarah.

Siapakah yang menulis Perjanjian Baru? Mengapa tidak menerima kitab-kitab apokrif, Injil Yudas atau Injil Tomas?
Terdapat sebab-sebab kukuh mengapa kita mempercayai senarai kitab-kitab Perjanjian Baru hari ini. Gereja menerima kitab-kitab Perjanjian Baru sebaik sahaja mereka ditulis. Penulis-penulis adalah rakan Yesus atau pengikut-Nya yang terdekat, orang yang dipercayakan kepemimpinan gereja awal. Penulis kitab Injil Matius dan Yohanes merupakan pengikut-pengikut Yesus yang paling rapat dengan-Nya. Markus dan Lukas adalah teman-teman rasul, dan mereka berpeluang untuk mengetahui kisah hidup Yesus melalui rasul.

Penulis-penulis Perjanjian Baru yang lain juga rapat dengan Yesus: Yakobus dan Yudas yang merupakan adik tiri Yesus tidak mempercayai-Nya pada mula-mulanya. Petrus adalah salah satu daripada 12 orang rasul. Paulus bermula sebagai seorang yang sangat membenci agama Kristian, tetapi dia menjadi seorang rasul selepas dia menerima visi dari Kristus.

Dia juga berhubungan dengan para rasul yang lain.
Isi kitab-kitab Perjanjian Baru selaras dengan apa yang dilihat oleh beribu-ribu saksi.
Sementara buku-buku lain adalah ditulis beratus-ratus tahun kemudian (iaitu Injil Yudas, ditulis oleh sekta Gnostik di sekitar 130-170 S.M., lama selepas kematian Yudas, bukan terlalu susah untuk gereja mengecamkan buku-buku palsu. Injil Tomas yang ditulis di sekitar 140 S.M. merupakan satu lagi contoh tulisan palsu yang dihubungkaitkan dengan nama seorang rasul. Ini dan kitab Gnostik yang lain bercanggah dengan ajaran Yesus dan Perjanjian Lama, dan biasanya mengandungi kesilapan sejarah dan geografi.12

Pada 367 S.M. Athanasius menyenaraikan 27 kitab Perjanjian Baru (senarai yang sama pada hari ini). Tidak lama kemudian, Jerome dan Augustine mengedarkan senarai yang sama. Tetapi senarai ini tidak diperlukan untuk kebanyakan orang Kristian. Pada umumnya seluruh gereja telah menerima dan menggunakan senarai kitab yang sama sejak abad pertama selepas Kristus. Semasa gereja berkembang melewati kawasan yang berbahasa Yunani dan memerlukan penterjemahan Kitab Suci, satu senarai kitab yang sahih menjadi penting.

Mengapa penulisan kitab Injil dalam Perjanjian Baru mengambil masa 30 hingga 60 tahun?
Sebab utama kitab Injil tidak ditulis sebaik sahaja selepas kematian dan kebangkitan Yesus ialah tidak ada keperluan ketara untuk berbuat demikian. Pada mulanya Injil disebarkan dari mulut ke mulut di Yerusalem. Menulis kisah hidup Yesus adalah tidak perlu sebab mereka yang tinggal di Yerusalem merupakan saksi-saksi yang cukup sedar akan pelayanan-Nya.13

Tetapi, apabila Injil disebarkan melewati Yerusalem, dan saksi-saksi tidak lagi dijumpai dengan senang, maka catatan tertulis sangatlah perlu untuk mengajar orang ramai tentang hidup dan pelayanan Yesus. Ramai cendekiawan mengatakan bahawa kitab-kitab Injil adalah ditulis di antara 30 hingga 60 tahun selepas kematian Yesus.

Lukas menolong kita memahami lebih sedikit tentang mengapa dia menulis kitab itu. Di bahagian awal Injilnya dia menulis demikian: “Banyak orang telah berusaha menyusun suatu berita tentang peristiwa-peristiwa yang telah terjadi di antara kita, seperti yang disampaikan kepada kita oleh mereka, yang dari mula adalah saksi dan pelayan Firman.

Kerana itu, setelah aku menyelidiki segala peristiwa itu dengan saksama dari asal mulanya, aku mengambil keputusan untuk mencatatkannya dengan teratur bagimu, supaya engkau dapat mengetahui, bahawa segala sesuatu yang diajarkan kepadamu sungguh benar.”14

Yohanes juga memberikan sebab mengapa dia menulis Injilnya: “Memang masih banyak tanda lain yang dibuat Yesus di depan mata murid-murid-Nya, yang tidak tercatat dalam kitab ini, tetapi semua yang tertulis di sini telah dicatat supaya kamu percaya, bahawa Yesuslah Mesias, Anak Allah, dan supaya kamu oleh imanmu memperoleh hidup dalam nama-Nya.”15

Jika anda ingin mengetahui lebih lagi tentang Yesus, artikel berikut merupakan suatu ringkasan hidup-Nya: Bukan Iman yang Membabi Buta.

Apakah penting sama ada Yesus betul-betul melakukan and mengatakan apa yang dalam Injil?
Ya. Iman mesti berdasarkan fakta, iaitu kenyataan, jika kami ingin iman menjadi teguh. Jika anda dalam penerbangan ke London, anda mungkin menaruh kepercayaan pada pesawat terbang bahawa minyaknya cukup, sempurna dari segi mekanik, dan juruterbangnya cekap dan mahir. Walau bagaimanapun iman sahaja tidak akan membolehkan anda ke London. Iman memberikan anda keyakinan untuk menaiki pesawat itu, tetapi apa yang sebenarnya membolehkan anda ke London ialah keutuhan pesawat, pemandu, dll. Anda boleh bersandar kepada pengalaman penerbangan anda yang lepas. Tetapi pengalaman positif ini tidak cukup untuk menerbangkan pesawat ke London. Apa yang penting ialah objek iman anda–apakah objek ini boleh dipercayai?

Apakah Perjanjian Baru mencatatkan kisah Yesus dengan jitu? Ya, kita boleh mempercayai Perjanjian Baru sebab terdapat banyak bukti yang berdasarkan fakta tentangnya. Semua bukti yang dikemukakan dalam artikel ini merupakan asas yang kukuh untuk mempercayai apa yang kita baca dalam Perjanjian Baru: iaitu Yesus adalah Tuhan, Dia telah menebus dosa kita, dan Dia telah bangkit dari antara orang mati.

RUJUKAN:
(1) McDowell, Josh. The New Evidence that Demands a Verdict (Thomas Nelson Publishers, 1999), h.55.
(2) Tacitus, A. 15.44.
(3) Wilkins, Michael J. & Moreland, J.P. Jesus Under Fire (Zondervan Publishing House, 1995), h.40.
(4) Ibid.
(5) Strobel, Lee. The Case for Christ (Zondervan Publishing House, 1998), h. 83.
(6) Zacharias, Ravi. Can Man Live Without God? (Word Publishing, 1994), h. 162.
(7) Strobel, h. 132.
(8) Ahli arkeologis Yahudi, Nelson Glueck, menulis: “Boleh dikatakan bahawa tiada sebarang penemuan arkeologi pernah bercanggah dengan sesuatu rujukan Alkitabiah.” Dipetik oleh McDowell,Josh. The New Evidence That Demands a Verdict (Thomas Nelson Publishers, 1999), h. 61.
(9) Geisler, Norman L. Baker Encyclopedia of Christian Apologetics (Grand Rapids: Baker, 1998).
(10) McDowell, Josh. Evidence That Demands a Verdict (1972), p. 19.
(11) Pettinato, Giovanni. The archives of Ebla: an empire inscribed in clay (Garden City, NY:Doubleday, 1981)
(12) Bruce, F.F. The Books and the Parchments: How We Got Our English Bible (Fleming H. Revell Co., 1950), h. 113.
(13) Lihat Kisah Para Rasul 2:22, 3:13, 4:13, 5:30, 5:42, 6:14, dll.
(14) Lukas 1:1-3
(15) Yohanes 20:30,31

Satu petikan dalam salah sebuah kitab Injil…
Kitab-kitab Injil menceritakan dengan terus-terang apa yang telah berlaku. Malahan, laporan bagaimana Yesus melakukan mukjizat juga ditulis tanpa menimbulkan sensasi. Di bawah merupakan satu petikan dari kitab Lukas, fasal 8, di mana Yesus membangkitkan seorang anak perempuan yang mati. Perhatikanlah butir-butir terperinci dalam laporan ini:
Maka datanglah seorang bernama Yairus. Dia adalah ketua rumah ibadat. Sambil bersujud di kaki Yesus, dia memohon supaya Yesus datang ke rumahnya kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir mati.
Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang-orang mendesak dari segala sudut. Di situ ada seorang perempuan yang sudah dua belas tahun menderita pendarahan dan yang tidak berhasil disembuhkan oleh sesiapa pun. Dia maju mendekati Yesus dari belakang dan menjamah hujung jubah-Nya, dan seketika itu juga berhentilah pendarahannya.
Yesus bertanya, “Siapa menjamah Aku?” Dan kerana tidak ada yang mengakuinya, berkatalah Petrus, “Guru, orang banyak mengerumuni dan mendesak Engkau.” Tetapi Yesus berkata, “Ada seorang yang menjamah Aku, sebab Aku merasa ada kuasa keluar dari diri-Ku.”
Ketika perempuan itu melihat bahawa perbuatannya telah diketahui, dia datang dengan gemetar lalu bersujud di kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menjamah-Nya, dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepada perempuan itu, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyelamatkan engkau, pergilah dengan kesejahteraan!”
Ketika Yesus berkata demikian, datanglah seorang pesuruh dari rumah Yairus, ketua rumah ibadat itu dan berkata, “Anakmu sudah mati, jangan lagi engkau menyusah-nyusahkan Guru!” Yesus mendengarnya dan berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percaya saja, dan anakmu akan sembuh.”
Setibanya di rumah Yairus, Yesus tidak membenarkan sesiapapun masuk dengan Dia, kecuali Petrus, Yohanes dan Yakobus dan ayah anak itu serta ibunya. Semua orang menangis dan meratapi anak itu.
Akan tetapi Yesus berkata, “Jangan menangis; dia bukan mati, dia hanya tidur!” Semua orang memperolok-olokkan Yesus, sebab mereka tahu bahawa budak perempuan itu telah mati.
Tetapi Yesus memegang tangan anak itu dan berkata, “Bangunlah, nak!” Maka kembalilah roh anak itu dan seketika itu juga dia bangkit berdiri. Lalu Yesus menyuruh mereka memberi anak itu makan. Dan takjublah ibu-bapa budak itu, tetapi Yesus memerintahkan mereka jangan memberitahukan sesiapa pun apa yang telah terjadi.

Ujian untuk mengesahkan kebenaran Injil yang terbaik ialah membacanya diri sendiri. Apakah Injil merupakan laporan peristiwa yang sebenar, atau fiksyen? Jika sebenar, maka Tuhan telah memperlihatkan Diri-Nya kepada kita. Yesus datang, hidup, mengajar, mengilhami dan memberikan hidup kepada berjuta-juta orang yang membaca firman dan hidup-Nya hari ini. Ramai mendapati apa yang Yesus katakan dalam Injil adalah benar:
“Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala kelimpahan.” (Yohanes 10:10)

Perbandingan antara Perjanjian Baru dengan karya kuno lain*:
Penulis Buku Tahun Catatan Salinan Terawal Lompang Waktu Jumlah salinan
Homer Iliad 800 S.M. Sekitar 400 T.M. Sekitar 400 tahun 643
Herodotus History 480-425 S.M. sekitar 900 T.M. sekitar 1,350 tahun 8
Thucydides History 460-400 S.M. sekitar 900 T.M. sekitar 1,300 tahun 8
Plato …. 400 S.M. sekitar 900 T.M. sekitar 1,300 tahun 7
Demosthenes …. 300 S.M. sekitar 1100 T.M. sekitar 1,400 tahun 200
Caesar Gallic Wars 100-44 S.M. sekitar 900 T.M. sekitar 1,000 tahun 10
Tacitus Annals T.M. 100 sekitar 1100 T.M. sekitar 1,000 tahun 20
Pliny
Secundus Natural History T.M. 61-113 sekitar 850 T.M. sekitar 7500 tahun 7
Kitab Suci Injil(Perjanjian Baru) …. T.M. 50-100-sekitar 114(fragmen) -sekitar 50+ tahun 5366
-sekitar 200 (buku) -sekitar 100 tahun
-Sekitar 250(sebahagian besar Kitab Suci Injil)
-sekitar 325 (Kitab Suci Injil lengkap) -sekitar 225 tahun

*McDowell, Josh. The New Evidence that Demands a Verdict. (Thomas Nelson Publishers, 1999), h. 55.

Penemuan Arkeologi Kepentingannya
1. Lempengan-lempengan (Tablets) Mari
Lebih daripada 20,000 lempengan bertulisan paku (cuneiform) dari zaman
Abraham yang menjelaskan banyak tradisi bapa leluhur dalam kitab Kejadian.
2. Lempengan-lempengan Ebla Lebih daripada 20,000 lempengan, banyak yang mengandungi hukum-hukum
seakan-akan dengan kod undang-undang dalam kitab Ulangan. Apa yang
disangka hanya rekaan sahaja sebelum ini iaitu lima kota di dalam kitab
Kejadian 14 (Sodom, Gomorrah, Admah, Zeboiim, and Zoar) telahpun
dikenalpastikan sekarang.
3. Lempengan-lempengan Nuzi Lempengan-lempengan ini menerangkan dengan terperinci adat-istiadat dalam
abad ke-14 dan ke-15 serupa dengan kisah bapa leluhur seperti hamba
perempuan memperolehi anak untuk isteri yang mandul.

4. Prasasti Hitam Membuktikan bahawa tulisan dan undang-undang tertulis sudah wujud selama tiga abad sebelum hukum Musa.
5. Tembok Kuil Karnak, Mesir Menandakan abad ke 10 SM rujukan kepada Abraham.
6. Undang-undang Eshnunna (ca. 1950 SM)
7. Kitab Undang-undang Lipit-Ishtar(ca. 1860 SM)
8. Hukum Hammurabi (ca. 1700 SM) Menunjukkan bahawa kitab undang-undang Taurat tidak terlalu canggih untuk zaman itu.
9. Lempengan-lempengan Ras Shamra Memberikan maklumat tentang puisi Ibrani.
10. Surat-surat dari Lakhish Menerangkan serangan Nebukadnezar ke atas Yehudah dan memberikan
maklumat tentang era Yeremia.
11. Meterai Gedaliah Terdapat rujukan tentang Gedaliah di dalam kitab 2 Raja-raja 25:22.
12. Silinder Cyrus Membuktikan kebenaran Alkitab tentang perisytiharan Raja Cyrus
memerintahkan orang Yahudi yang tinggal di Babylon untuk kembali ke
Yerusalem dan membina semula Bait Suci (lihat 2 Tawarikh 36:23; Ezra
1:2-4).
13. Batu Moab Memberikan informasi tentang Omri, raja ke-enam Israel.
14. Prasasti Hitam Salmaneser III Mengambarkan Jehu, Raja Bani Israel, terpaksa menyerah kepada Salmaneser
III dari Assyria.
15. Prisma Taylor Mencatat penyerbuan Sanherib raja Asyur ke atas Yerusalem pada zaman Hizkia, raja Israel.

Tuduhan yang lalu oleh Pengkritik Bukti yang Ditemukan oleh Para Arkeologis
Musa tidak mungkin menulis kitab-kitab Taurat sebab dia hidup sebelum sistem penulisan wujud. jawap: Sistem penulisan sudah wujud beberapa abad sebelum Musa.

Kota Ur, kampung halaman Abraham tidak wujud.
Jawap: Ur yang merupakan sebuah kota penyembah berhala telah ditemukan.
Penemuan arkeologis membuktikan bahawa kota Ur pada masa itu menyembah dewa bulan yang bernama Sin di suatu kuil yang terkenal, iaitu Kuil Ziggurat.

Kota yang dibina dari batuan brick yang digelar “Petra” tidak wujud. Jawap: Petra telah ditemukan.

Kisah tentang kejatuhan Yeriko adalah cerita dongeng. Kota ini tidak pernah wujud. Jawap: Kota ini telah ditemukan dan cara tembok Yeriko runtuh adalah sebagaimana dicatatkan dalam Alkitab.

Suku bangsa Het tidak wujud. Jawap: Orang-orang Het pernah dianggap sebagai legenda Alkitab, sehingga ditemukan kota dan catatan-catatan mengenai mereka di Bogazkoy, Turki.
Reruntuhan dari sebuah kota yang terletak di Turki, di sebelah utara Israel sekarang, telah dibuktikan sebagai reruntuhan kota orang Het.

Belsyazar bukan seorang raja Babel sebab namanya tidak dicatat dalam rekod sejarah.
Jawap: Lempengan-lempengan dari Babel yang ditemukan membuktikan bahawa
Belsyazar adalah putera mahkota Nabonidus yang berkuasa bersama di Babel. Ini membuktikan bahawa Belsyazar adalah raja Babel terakhir, dan bukan Nabonidus.

November 25, 2008 - Posted by | ALKITAB- SAINS, MATEMATIK DAN ARKEOLOGI | ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s